Jumaat, 24 April 2009

maklumat bg bakal cikgu..

maklumat ni khas utk bakal cikgu2 yg berada d luar sana supaya bila masuk sekolah nnt tak la kita terkejut beruk bila sistemnya dah tak sama seperti waktu zaman kita comel2 dulu...


PENDIDIKAN Respons: Penilaian baru jadikan tugas guru makin mencabar
Oleh Zainor Said

JIKA segala-galanya berjalan seperti yang dirancang, mulai tahun depan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan sistem baru dalam membuat penilaian terhadap prestasi pelajar iaitu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK), bermula dengan murid tahun satu.

Menerusi sistem baru itu, prestasi pelajar bukan saja dinilai berasaskan peperiksaan, malah turut mengambil kira aspek rohani, jasmani dan emosi secara bersepadu termasuk pembabitan mereka dalam kegiatan kokurikulum. Matlamat kementerian adalah untuk mengubah sistem penilaian sekarang yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan kepada usaha untuk mencungkil potensi serta bakat pelajar dalam bidang dan kemahiran lain.

Penilaian berasaskan sekolah dari tahun satu hingga enam meliputi 70 peratus daripada markah keseluruhan, manakala baki 30 peratus lagi adalah menerusi peperiksaan UPSR yang bakal mereka duduki pada 2015. Di peringkat PMR pula markah penilaian berasaskan sekolah merangkumi 50 peratus dan baki 50 peratus lagi menerusi peperiksaan PMR. Sementara di peringkat SPM pula, 30 peratus adalah markah penilaian berasaskan sekolah dan 70 peratus lagi menerusi peperiksaan SPM.



Langkah baru Kementerian Pelajaran itu adalah satu daripada usaha transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan serba boleh dan holistik. Kerajaan bukan saja mahu melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi juga memiliki kemahiran lain seperti bijak berkomunikasi, bergaul, berakhlak, kreatif dan berpengetahuan luas.

Buat masa ini, Kementerian Pelajaran sudah menjalankan projek perintis di beberapa sekolah terpilih untuk menguji keberkesanan sistem itu. langkah itu memberi mesej jelas kepada kita bahawa setiap projek sekiranya sudah melalui tempoh percubaan di beberapa sekolah bermakna ia hampir pasti akan dilaksanakan.

Umum bersetuju bahawa sistem pendidikan hari ini terlalu menekankan peperiksaan kerana hanya dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan saja akan membolehkan seseorang pelajar mendapat laluan mudah sehingga ke peringkat universiti. Mereka juga ditawarkan pembiayaan pengajian berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan. Sebab itulah tumpuan sebahagian besar ibu bapa adalah ingin memastikan anak mereka berjaya merangkul semua A atau markah cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Sistem yang bakal dilaksanakan itu mempunyai sedikit persamaan di peringkat pengajian tinggi. Markah penilaian mahasiswa bukan bergantung seratus peratus pada peperiksaan akhir tahun yang mereka duduki kerana sebahagiannya sudah diagihkan, sama ada menerusi kerja kursus dan sebagainya.

Bagaimanapun ibu bapa tidak harus beranggapan bahawa dengan kurangnya peratusan markah di peringkat peperiksaan UPSR, PMR atau SPM bermakna anak mereka tidak perlu belajar atau melakukan ulang kaji seperti yang dilakukan sekarang.

Apa yang membezakan dengan sistem sekarang ialah tekanan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima itu berkurangan kerana sebahagian daripada markah mereka sudah diperoleh ketika mereka berada di tahap sebelumnya menerusi ujian bulanan, kegiatan kokurikulum serta aktiviti akademik berbentuk kajian yang diberikan oleh guru sebelum ini.

Bagi melaksanakan sistem penilaian berasaskan sekolah ini kita tidak dapat lari daripada menagih komitmen tinggi daripada semua guru di semua peringkat daripada tahun satu hinggalah ke tingkatan lima. Merekalah yang menjadi penentu berjaya atau gagalnya sistem ini kerana setiap guru memainkan peranan penting dalam membuat penilaian terhadap murid masing-masing.

Kita bukannya mahu memperkecilkan kewibawaan dan kemampuan guru tetapi dengan bilangan murid yang semakin ramai, sehingga sesetengahnya ada yang melebihi 40 orang dalam satu kelas, tugas serta tanggungjawab guru menjadi semakin berat dan mencabar. Apatah lagi apabila diberi tanggungjawab membuat penilaian penting prestasi murid seterusnya memberi markah yang merupakan sebahagian daripada skor keseluruhan murid dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

Kita harap setiap guru harus dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran tertentu mulai sekarang supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab baru itu dengan berkesan seterusnya membantu kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama. Kementerian juga harus memberi mesej jelas kepada guru apakah matlamat yang ingin dicapai agar sistem penilaian berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berjaya tanpa protes dan bantahan daripada mana-mana pihak seperti yang berlaku terhadap Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Biarlah sistem baru ini, kita bukan saja berjaya mengurangkan tekanan yang dihadapi murid, tetapi penting juga bagi kita mengurangkan tekanan yang dihadapi guru serta ibu bapa. Sekiranya guru diserahkan tanggungjawab yang terlalu banyak, kita bimbang mereka tidak mampu memberi fokus kepada tugas hakiki iaitu mengajar, sehingga boleh menjejaskan kualiti kerja yang mereka hasilkan.

2 ulasan:

kaunselorkite berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
ninim berkata...

Salam...sal...letih kerja kita nanti..ntah2 nanti kaunselor kena jadik tukang kira markah budak2 n submit kat Kementerian....